Monday, 29 July 2013

Akhir tapi bukan pengahirannya :)

Kesimpulannya, Mukah merupakan daerah yang terkenal dengan kekayaannya dari segi budaya, makanan tradisional, adat, bangsa dan sebagainya. Tidak dinafikan Mukah boleh dijadikan pilihan para pelancong kerana kekayaannya itu. Di samping itu, pesta yang terdapat di Mukah iaitu Pesta Kaul juga telah dapat menarik perhatian pelancong dari dalam negara mahupun luar negara. Selain itu, majoriti bangsa yang terdapat di Mukah ialah kaum Melanau. 

duah telou sieng berbiyah,
manakan samah si sieng belang,
duah telou kenah kew pingeng,
manakan samah si Mukah jelawah.

Hanya sampai di sini lah perkongsian kami tentang Mukah. Selamat Membaca :)


Saturday, 27 July 2013

PESTA KAUL









Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi. Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain.
Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau Pagan untuk memohon restu daripada penunggu laut, darat, ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki. Disebabkan kaum Melanau sinonim dengan aktiviti nelayan, Kaul diadakan bagi menandakan musim tengkujuh telah berlalu.
TIBOW
Perubahan agama dan anutan di kalangan masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul. Kehadiran Islam dan Kristian membawa senario baru kepada Kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai satu pesta sosio-budaya. Namun di dalamnya masih terselit keunikan warisan Bangsa Melanau di Negeri Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut masa.
Pesta Kaul menjadi medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menghidangkan satu manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian. Kini sambutannya disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti Tibow, pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti Tebaloi, Si'et, Sagu dan Umai persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan yang lebih menarik adalah proses penyatuan keakrabaan yang menemukan pelbagai bangsa, agama dan pertuturan dalam upacara perkelahan komuniti.












KEPERCAYAAN MELANAU




DAKAN


Patung Dakan


Menurut Augustine Bin Aanyub, Dakan merupakan patung yang diperbuat daripada dahan rumbia. Patung ini juga dikenali sebagai patung yang digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Pesakit yang tidak dapat diubati dengan upacara bebayoh baru akan menggunakan dakan. Terdapat pelbabai jenis bentuk dan saiz patung dakan yang dibuat mengikut jenis-jenis penyakit. Selepas pesakit telah dikenalpasti penyakit yang dihadapinya melalui upacara bebayoh, pesakit akan dilanjutkan kepada orang yang mengubati penyakit menggunakan dakan. Dahan rumbia akan diukir mengikut jenis penyakit yang dihadapi, dimulakan daripada mengukir bahagian badan patung dan barulah mata patung dakan boleh diukir. Selepas patung dakan dihasilkan, pesakit akan duduk, patung dakan akan berada di atas kepala pesakit dan seterusnya air disiram dari atas patung dakan terus ke pasakit yang duduk. Jampi digunakan semasa patung dakan dibuat. Selepas berubat, patung yang digunakan akan dibuang dan dihanyutkan ke sungai yang jauh dari kawasan perumahan. Selain itu, patung dakan yang telah dihanyutkan ke sungai tidak boleh diambil dan dikatakan jika menjumpai atau menganggu patung tersebut seperti memotong patung dakan itu, nescaya mereka akan meninggal dunia. Menurutnya lagi, patung dakan juga tidak boleh disimpan di dalam rumah dan mesti dihanyutkan ke sungai









BANGSA YANG TERDAPAT DI MUKAH





Mukah merupakan salah satu bahagian dalam negeri Sarawak yang penuh dengan kepelbagaian etnik dan budaya termasuklah masyarakat Melanau . Masyarakat Melanau bukan hanya tertumpu di mukah tetapi banyak kawasan lain yang menempatkan kaum melanau. satu kajian untuk mengenali lebih mendalam mengenai masyarakat melanau telah dilakukan di mukah iaitu tempat yang terkenal dengan etnik dan adat istiadat masyarakat Melanau. Masyarakat Melanau terdiri daripada Melanau Islam, Melanau Kristian dan Melanau Pagan.

Kebanyakan masyarakat luar dari Sarawak menganggap semua masyarakat Melanau adalah sama tetapi sebenarnya ia berbeza mengikut kawasan. Ini terbukti apabila kajian dilakukan di Kampung Tellian, Mukah. Kampung Tellian terbahagi kepada Kampung Tellian Daya(asalnya kampung tellian ulu), Kampung Tellian Hilir dan Kampung Tellian Tengah. Kajian lebih tertumpu kepada adat, ritual, dan makanan tradisional masyarakat melanau.

Dengan keunikan tersendiri telah menarik perhatian masyarakat luar untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang etnografi masyarakat melanau yang lebih tertumpu di bahagian mukah. Kajian terhadap tellian mukah juga menitikberatkan status sosial. Adat perkahwinan ini juga membezakan mengikut pangkat seperti 7 bertirih, 7 pikul dan 9 pikul. masyarakat ini berbeza mengikut tempat dan perkampungan. Malah dialek setiap tempat ini berbeza-beza mengikt suku kaum melanau itu sendiri.
kebanyakan penduduk kampung tellian menghasilkan sagu dan terbaloi yang sinonim sebagai salah satu makanan turun temurun yang menjadi sumber pendapatan mereka.perubatan dan kepercayaan juga masih dipercayai sampai sekarang seperti bayoh, jerunai, kubur gantung dan batang pagan. 


SAGU


Pokok Sagu
Sagu Yang Belum Diproses
Masyarakat Melanau terkenal dengan makanan tradisionalnya iaitu sagu. Satu kajian telah dilakukan di kampung Tellian Tengah. Kajian yang kami lakukan adalah bertumpu di rumah penduduk asal yang menghasilkan sagu iaitu Augustine Anyub bin Kusau yang berusia 79 tahun dan anaknya iaitu Catherine binti Augustine Anyub serta menantunya Osman.
Menurut Augustine Anyub, beliau menggelar sebagai pokok mulong namun beliau juga menyatakan nama lain bagi pokok mulong adalah pokok rumbia dan pokok sagu. Sejarah pokok mulong menurut beliau adalah berasal daripada Negara China. Beliau mengatakan bahawa pedagang dari China membawa pokok mulong ke Mukah, Sarawak. Berdasarkan cerita Augustine  Anyub, pedagang China ini hanya membawa dua batang pokok sahaja. Kawasan yang terdapat banyak pokok mulong di Mukah adalah dari kawasan Ulu Mukah dan Dalat.
Dari sudut geografinya pula, tanah yang sesuai untuk menanam pokok mulong ialah tanah gambut. Tempoh pokok mulong matang bergantung kepada kesuburan tanah. Cara penanaman pokok mulong adalah dengan menggali sedikit lubang dan seterusnya memasukkan  anak pokok tersebut ke dalam lubang yang telah digali itu tadi. Selepas itu, dua kayu akan dipacak secara berpalang merentasi anak pokok tersebut. Fungsi kayu yang berpalang adalah untuk mengelakkan anak pokok mulong dihanyutkan oleh air. Jangka masa untuk menebang pokok mulong adalah dalam tempoh 13 tahun. Beliau menyatakan juga tunas pokok mulong sentiasa bercambah selepas proses penebangan pokok mulong.
Mengikut aspek kepercayaan pula, proses penebangan pokok mulong mempunyai pantang larangnya tersendiri. Antara pantang larangnya ialah sekiranya terdapat tikus yang melintasi kawasan pokok mulong tersebut, maka pokok mulong tersebut tidak boleh ditebang kerana kemungkinan ada orang yang meninggal umpama kita membaling batu kepada orang yang meninggal tersebut. Pantang larang seterusnya ialah  sekiranya terdapat  ular yang melintas ketika ingin menebang pokok mulong, kita boleh dianggap seperti mengikat keranda orang yang
Kerja Menebang Pokok
 sudah mati dengan menggunakan tali. Kepercayaan ini dipercayai sehingga ke hari ini. Selain itu, sebelum pergi menebang pokok, jika terdapat seekor ayam yang melintasi perahu, kita tidak boleh menebang pokok mulong. Hal ini kerana mengikut kepercayaan mereka akan berlaku sesuatu bencana.
Pantang larang yang seterusnya dalam menebang pokok mulong, adalah jika terdengar bunyi seekor burung “Bukeng” , siulan burung tersebut perlulah didengar dengan teliti sebelum menebang pokok mulong, hal ini kerana jika kali pertama mendengar siulan burung tersebut maka dilarang untuk menebang pokok tersebut. Namun jika siulan burung tersebut didengar berulang kali maka penebangan pokok mulong dibenarkan. Siulan burung tersebut membawa maksud siulan yang pertama memberitahu terdapat saudara yang terdekat yang meninggal manakala jika siulan tersebut berulangkali bererti tiada apa-apa yang berlaku. Setelah didengari segala pantang larang tersebut, mengikut kepercayaan kaum melanau itu sendiri segala pantang larang itu membawa maksud ada hantu yang memberitahu kepada burung “Bukeng” dan burung tersebut menyampaikan kepada manusia. Walaubagaimanapun, segala pantang larang yang dinyatakan oleh Augustine Anyub tersebut tidak lagi diguna pakai pada masa sekarang.
Ilmu penebangan pokok mulong dan pemprosesan pokok mulong menjadi tepung lemantak (sagu) telah diberikan sepenuhnya kepada Osman iaitu menantu beliau sendiri. Bagi Osman kerja-kerja penebangan dan pemprosesan pokok mulong adalah untuk dirinya sendiri, namun jika terdapat lebihan barulah beliau menjual kepada orang lain. Proses penebangan pokok mulong mengambil masa yang lama dan juga tenaga yang banyak. Langkah pertama adalah mengenal pasti jenis pokok mulong yang hendak ditebang terlebih dahulu, selepas itu penggunaan mesin gergaji (jingsaw) untuk menebang pokok.  Sebatang pokok mulong apabila dibahagikan kepada 30 inci boleh dipotong kepada lapan bahagian. Lapisan pokok mulong adalah tiga lapisan , iaitu lapisan yang pertama sebelum ditebang pokok mulong lapisan yang pertama perlu dibersihkan menggunakan parang. Lapisan yang kedua adalah setelah ditebang dan sebelum dibahagikan kepada lapan bahagian. Dan lapisan terakhir adalah setelah direndam dalam air selama 20 hari.
Selepas proses penebangan pokok mulong, bahagian-bahagian tersebut digolekkan menuju ke tebing sungai. Seterusnya bahagian-bahagian tersebut ditolak terus ke dalam sungai sebelum diikat menggunakan tali. Bahagian-bahagian tersebut disatukan menjadi seperti rakit kemudian ditarik menggunakan perahu atau tenaga manusia itu sendiri. Bahagian-bahagian tersebut boleh ditarik menggunakan perahu jika air sungai pasang, jika air sungai tersebut surut maka tenaga  manusia diperlukan untuk menarik bahagian-bahagian tersebut.  Sebaik sahaja selesai proses penebangan pokok, bahagian-bahagian kecil pokok mulong tersebut direndam dan dibiarkan selama 20 hari di dalam sungai untuk  memastikan sagu yang diproses mempunyai isi yang mencukupi, selain itu proses merendam tersebut adalah untuk mengelakkan daripada dimakan oleh ulat.



MAKANAN POPULAR DI MUKAH




UMAI


Umai? Apa itu Umai? Umai merupakan sejenis makanan laut tradisional masyarakat Sarawak. Umai juga merupakan sepupu sashimi(sushi) di negara Jepun. Tetapi umai tetap popular di kalangan masyarakat di Sarawak. Umai tetap menjadi buah mulut masyarakatnya. Bahagian Mukah sinonim dengan gelaran bahagian Umai. Umai merupakan ikan yang dihiris halus-halus dan di buang tulangnya. Kalau anda tidak mahu membuang tulangnya tidak mengapa tetapi lebih molek kalau tulang ikan dibuang supaya kebarangkalian untuk anda tertelan tulang ikan adalah ikan kecil. Ikan dilaut yang telah siap dihiris itu tadi akan digaulkan bersama-sama asam di darat iaitu limau nipis, bawang merah, bawang putih, bawang besar dan tidak lupa cili. Nak asam lagi anda boleh tambah buah maram(ba'un buah dari pohon mulung). Semakin banyak limau nipis dan dan cili semakinsedap lah umai anda. Kemudian hirisan ikan tadi digaul hingga sebati dengan bahan yang di darat tadi. Untuk menambah rasa Umai, tambahkan saja MSG dan garam secukupnya. Jadilah umai yang senang disediakan. Oleh kerana umai senang disediakan, nelayan biasanya hanya berbekalkan cili, bawang, limau, garam dan MSG sahaja ke laut. Kemudian seekor dua ikan pastinya menjadi mangsa mereka untuk menjadi santapan apabila lapar. Umai sedap jika ikan itu betul-betul segar dan jika ikan umai telah siap untuk dimakan , jangan tunggu lama2 kerana apabila ikan itu sudah masak(campuran limau dan cili boleh memasakkan ikan secara semulajadi) umai hilang sedapnya. Cubalah rasa Umai Mukah hari ini. :)





PEKAN DALAT


Dalat, sebuah pekan kecil Melanau merupakan perhentian yang menarik sekiranya anda berada di Mukah, atau persinggahan sekiranya anda berjalan menaiki bot laju dari atau ke Sibu. Di luar pejabat daerahnya, berhadapan dengan kuil cina dan dermaga bot laju, terdapat kelidieng (tiang korban) Melanau yang masih wujud sehingga ke hari ini. Kelidieng, diperbuat daripada batang kayu belian (ironwood) dan dihiasi dengan ukiran kerawang, telah digunakan di dalam ritual purba bagi mengelak malapetaka. Sekiranya komuniti mereka dilanda malapetaka, seorang gadis muda akan diletakkan di dalam batang kayu tersebut dengan hanya diberikan air minuman sehingga dia menemui ajalnya. Pengorbanan sebegini dilihat sebagai cara untuk mengelakkan kemarahan dewa dan roh dari menurunkan malapetaka kepada komuniti ini. Menariknya, salib yang terdapat di dalam altar gereja RC St.Bernard (500m hulu sungai, pengunjung dialu-alukan) juga diperbuat daripada kelidieng untuk memberi sentuhan kebudayaan Melanau kepada konsep pengorbanan Jesus Christ yang sebenarnya.