Saturday, 27 July 2013

PESTA KAUL









Kaul merupakan satu pesta keramaian yang diraikan oleh masyarakat Melanau sejak dari dulu lagi. Pesta tradisi yang disambut secara tahunan ini, menghimpunkan pelbagai upacara dan adat resam yang menarik dan luar biasa dari kaum lain.
Dahulu, Kaul dilihat sebagai perayaan keagamaan oleh masyarakat Melanau Pagan untuk memohon restu daripada penunggu laut, darat, ladang dan hutan agar penunggu tersebut tidak mengganggu ketika mereka mencari rezeki. Disebabkan kaum Melanau sinonim dengan aktiviti nelayan, Kaul diadakan bagi menandakan musim tengkujuh telah berlalu.
TIBOW
Perubahan agama dan anutan di kalangan masyarakat Melanau turut mengubah aplikasi dan kepercayaan Kaul. Kehadiran Islam dan Kristian membawa senario baru kepada Kaul yang lebih sesuai dilihat sebagai satu pesta sosio-budaya. Namun di dalamnya masih terselit keunikan warisan Bangsa Melanau di Negeri Sarawak iaitu masyarakat yang masih mengekalkan upacara tradisi yang disesuaikan mengikut masa.
Pesta Kaul menjadi medan perkelahan komuniti terbesar masyarakat Melanau. Pesta ini menghidangkan satu manifestasi khazanah budaya kaum Melanau dari aspek pakaian, kraftangan, makanan, permainan dan tarian. Kini sambutannya disertai oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai kaum terutamanya untuk melihat dan menyertai pelbagai permainan tradisi seperti Tibow, pameran dan jualan makanan eksotik tempatan seperti Tebaloi, Si'et, Sagu dan Umai persembahan kebudayaan, pameran kraftangan dan yang lebih menarik adalah proses penyatuan keakrabaan yang menemukan pelbagai bangsa, agama dan pertuturan dalam upacara perkelahan komuniti.














SERAHANG 












Serahang ialah "kepala hantaran" kepada ipok. Ia perlu dibuat mengikut motif tertentu. Motif pada serahang ialah gambaran daripada sistem kepercayaan atau kosmologi Melanau, khususnya sejauh yang berkaitan dengan ipok. Lambang itu menggambarkan bahawa ia ada kaitan dengan jumlah lapisan dunia yang dikatakan tujuh lapisan di atas dan tujuh lapis di bawah.Motif-motif pada serahang turut melambangkan imej ipok laut, darat, dan udara. Motif yang sesuai dan cukup akan menyenangkan hati ipok.

Serahang
Serahang yang diperbuat daripada bahan-bahan berikut - buluh, tedieng, semat, daun nyipah muda, daun iseng dan daun tegoh - disediakan beberapa hari sebelum kaul.Sebahagian daripada bahan itu tidak mudah diperoleh kerana ia perlu dicari dari dalam hutan.Serahang dibuat oleh wanita kerana motif-motif tertentu memerlukan mereka yang teliti, dan ini sesuai dengan sifat wanita.

Berdasarkan pemerhatian, serahang bukan sahaja menuntut ketelitian dan kesabaran tetapi juga daya kreativiti yang tinggi, dengan mengambil kira unsur-unsur tertentu dalam perayaan dan juga sistem kepercayaan masyarakat. Sebenarnya, serahang berasal daripada perkataan "serahan", iaitu barang persembahan untuk ipok. Dan, bunyinya juga begitu dekat dengan "Rirang" yang merujuk kepada Rirang Rabu Bunga dalam mitos berkaitan dengan Sepok di Dalat.

Di Dalat, serahang bertujuan untuk membuang sial, mengelakkan malapetaka, musuh, dan penyakit.Serahang dan jenis hantaran di dalamnya telah "dititahkan dalam mimpi". "Serahang merupakan upacara penting kerana ia adalah satu persembahan kepada semangat laut yang menurut kepercayaan masyarakat Melanau, bahawa mereka akan mendapat kemakmuran, keharmonian dan kemurahan rezeki jika melakukan persembahan itu".

Serahang yang tingginya sekitar tujuh kaki mempunyai bentuk dan komponen serta unsur-unsur tersendiri. Komponen perlu lengkap kerana serahang yang tidak sempurna boleh menyebabkan ipok murka, dan akhirnya menimpa mereka yang membuatnya.
Justeru, hanya mereka yang berpengalaman dapat mengetuai kerja-kerja membuatnya. Struktur utama serahang ialah batang buluh tedieng. Bahagian-bahagian wajib yang perlu ada pada serahang ialah paka, tepasik, tetilip, beburung dan patik, dengan jumlah yang menggambarkan jumlah ipok dan lapisan bumi. Terdapat tujuh batang tetilip dan tujuh tiang bendera pelbagai warna diletakkan di atas, dengan tujuh ekor beburung.

No comments:

Post a Comment